The Red Warriors Bermula Langkah Kiri Tewas 1-2 Kepada Melaka United

0
229

Kelantan membuka tirai Liga Super musim ini dengan langkah kiri apabila tewas 1-2 kepada Melaka United pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hang Jebat.

Bagaimanapun, Kelantan bermula garang apabila membuka tirai jaringan seawal minit kedua perlawanan menerusi pemain import dari Brazil, Bruno Lopez yang menampan masuk bola berpunca dari sepakan percuma Do Dong-Hyun. Gol yang mengejutkan pemain dan penyokong Melaka United.

Namun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila pemain import Melaka United, Yahor Zubovich meledak gol penyemaan pada minit ke-11. Kegagalan Amiridzwan Taj mengawal kemas Zubovich memberi kebebasan buat pemain dari Belarus itu mendada kemas bola  lambungan kapten, R Surendran dan kemudiannya melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol Kelantan, Ramadhan.

Ketika aksi seimbang antara kedua-dua pasukan dengan saling melakukan serang balas, Melaka United dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-31 selepas Amiridzwan Taj melakukan kesilapan menjatuhkan S Chanturu di dalam kotak penalti. Tiada masalah buat pemain import Korea Selatan, Jae Woo Young untuk merembat masuk untuk menjadikan kedudukan 2-1 sehingga babak pertama berakhir.

Bersambung babak kedua anak buah Sathit cuba untuk bangkit untuk mencari gol penyamaan. Kelantan lebih ghairah melancarkan serangan bertali arus terutama dalam tempoh 20 minit terakhir.

Kelantan memiliki beberapa peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan. Percubaan Do Dong-Hyun pada minit ke-71 berjaya diselamatkan penjaga gol Melaka United, Muhammad Zamir Selamat. Manakala rembatan pemain pemain import Indonesia, Ferdinand sedikit melewati palang gol pada minit ke-73 disusuli tandukannya ditepis keluar Muhammad Zamir, tiga minit kemudian.

Berbaki 10 minit perlawanan, Kelantan semakin agresif melancarkan serangan untuk cuba meraih sekurang-kurangnya satu mata. Namun barisan pertahanan tuan rumah berjaya menyerap setiap asakan pemain Kelantan sehinggan ke wisel penamat.

Kekalahan ke atas Melaka United adalah kekalahan pertama Kelantan dalam perlawanan pembukaan Liga Super sejak mendapat promosi ke Liga Super pada tahun 2009.

 

Facebook Comments

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here