Sumareh boleh sarung jersi Harimau Malaya?

0
2024

 

Tonggak import Pahang, Mohamadou Sumareh boleh menyarung jersi skuad Harimau Malaya pada bila-bila masa, namun semua itu bergantung kepada pengendali pasukan kebangsaan Tan Cheng Hoe untuk memanggil pemain itu ataupun tidak.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali kelima di Hotel Hatten.

Berdasarkan prosedur yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), mana-mana pemain yang menetap lebih lima tahun dan memegang pasport antarabangsa sesebuah negara boleh menyertai pasukan kebangsaan negara terbabit.

“Kalau ikutkan untuk menjadi pemain nasional (kebangsaan negara lain) dapat pasport dan tinggal (menetap) lima tahun boleh dipanggil, jika jurulatih pasukan kebangsaan mahukan dia,” kata Hamidin.

Mamadou Sumareh telah beraksi di negara ini sejak tahun 2013 PDRM sebelum menyertai Perlis dan kini bersama Pahang.

Diminta mengulas mengenai isu pemain naturalisasi, Hamidin menjelaskan ianya masih dalam peringkat kajian.

“Mengenai pemain naturalisasi ini, belum tentu diputuskan lagi kerana perlu ada kajian yang akan diketuai Datuk Mohd Yusoff yang akan ke Brazil dan Cameroon bagi melihat lebih lanjut pro dan kontra.

“Kita tunggu cadangan dulu sama ada boleh diteruskan atau tidak. Cadangan penggunaan pemain naturalisasi ini untuk kebaikan bola sepak, tetapi semuanya terpulang kepada kerajaan sama ada boleh memberi kewarganegaraan atau tidak.

“Pandangan saya berdasarkan persepsi bola sepak semata-mata dan opsyen ini tidak salah seperti mana dilakukan oleh Perancis dan Croatia,” kata Hamidin lagi.

Dalam masa yang sama, Hamidin mengatakan FAM menetapkan sasaran realistik layak ke pusingan kedua buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee di Sukan Asia bulan depan.

“Kita tahu semua pasukan besar bersama skuad kita, termasuk juara bertahan, Korea Selatan. Kita perlu tetapkan sasaran lebih tinggi untuk masuk ke kelompok 16 terbaik dan akan berusaha ke arah itu,” katanya.

Anak buah Kim Swee bakal menghadapi laluan mencabar kerana diundi bersama Bahrain, Kyrgyzstan, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan juga juara bertahan, Korea Selatan.

Di sebalik sasaran layak ke pusingan kedua, Kim Swee sebenarnya masih dalam dilema dalam membentuk skuad mantap kerana belum mendapat jaminan sepenuhnya daripada pasukan kelab sama ada pemain yang dipanggil akan menyertai latihan pusat atau sebaliknya.

Mengulas mengenai permasalahan itu, Hamidin mahu semua pihak bertenang dan menunggu hingga Isnin depan apabila pemain dipanggil menyertai latihan pusat secara rasmi.

“Mengikut surat pekeliling kita, pemain akan melapor diri pada Isnin, kita tunggu (Isnin ini). Selepas menyertai skuad, pemain akan menjalani latihan di China dan selepas itu terus ke Bandung, Indonesia untuk aksi Sukan Asia,” katanya.

Skuad negara akan membuka tirai saingan Sukan Asia dengan berdepan Kyrgyzstan pada 10 Ogos diikuti UAE, dua hari selepas itu.

Facebook Comments

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here