Sembilan Pemain B-23 Perkuatkan Skuad Cheng Hoe

0
264

 

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memanggil sembilan pemain skuad bawah 23 (B-23) tahun yang beraksi di Sukan Asia Jakarta-Palembang bagi menyertai latihan pusat skuad kebangsaan bermula 3 September ini.

Latihan pusat berkenaan diadakan bagi persediaan untuk menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa kelas A menentang Taiwan dan Kemboja pada 7 dan 10 September ini.

Sembilan pemain itu adalah Rizal Ghazali (Kedah), Adam Nor Azlin, Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad (JDT), Irfan Zakaria dan Syazwan Andik Ishak (Kuala Lumpur) serta Akhyar Rashid, Nik Akif Syahiran dan Syahmi Safari.

Daripada senarai itu, Cheng Hoe mengekalkan 16 daripada 24 pemain yang beraksi dalam aksi persahabatan antarabangsa bertemu Fiji di Cheras pada 5 Julai lalu.

Lapan pemain iaitu penjaga gol Ifwat Akmal Chek Kassim dan Syawal Nordin (Kedah), Nazirul Naim Che Hashim dan Kenny Pallraj (Perak), Danial Ashraf Abdullah dan Shafiq Shaharudin (Kelantan), Wan Zack Haikal Wan Nor (Felda United) serta Syahrul Azwari Ibrahim (Melaka United) tidak disenaraikan untuk perlawanan kali ini.

Sebagai ganti, Cheng Hoe menyenaraikan penjaga gol Farizal Marlias (JDT), Fazly Mazlan (JDT II), Akhyar Rashid (Kedah), Nik Akif Syahiran Nik Mat (Kelantan), Shahrel Fikri Md Fauzi (Nakhon Ratchasima), Norshahrul Idlan Talaha (Pahang), Mahalli Jasuli (PKNS FC) dan Syahmi Safari (Selangor).

Skuad Harimau Malaya akan menjalani dua hari latihan tempatan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan masing-masing pada 3 dan 4 September ini sebelum berlepas ke Taiwan, sehari kemudian.

Selepas dua perlawanan persahabatan itu, Harimau Malaya dijadualkan mengharungi tiga lagi aksi persahabatan bertemu Sri Lanka (12 Oktober), Republik Kyrgyz (16 Oktober) dan Maldives (3 November).

Kesemua perlawanan ini sebagai persiapan bagi menghadapi Piala Suzuki AFF 2018 yang bakal berlangsung pada 8 November hingga 15 Disember depan.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar – mStar

Facebook Comments

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here