PBJ Desak KAFA Adakan Sidang Tergempar

0
3255

 

Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) mengusulkan agar Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengadakan satu sidang tergempar bagi membincangkan kemelut yang sedang melanda badan induk bola sepak negeri itu.

Setiausaha PBJ Pasir Mas, Mohd Adnan Abd Rahman mengatakan selaku ahli gabungan mereka berhak mendapat maklumat tepat mengenai kemelut yang berlaku apabila pelbagai isu terutama corak pentadbiran KAFA yang mula dipersoalkan sehingga mengundang terlalu banyak persepsi buruk.

“KAFA perlu ambil langkah proaktif mengadakan perjumpaan bersama PBJ dengan segera kerana apa yang saya perhatikan sekarang isu ini cukup besar sehingga menjadi bualan hangat di akhbar dan laman sosial.

“KAFA kena perjelaskan secara terperinci kepada PBJ kerana kani tidak mendapat gambaran penuh apa sebenarnya yang berlaku dalam persatuan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

KAFA sedang berdepan krisis dalaman yang meruncing setelah dua Naib Presidennya, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali dan Datuk Nik Izani Ibrahim mengambil keputusan meletak jawatan susulan tidak berpuas hati dengan corak kepimpinan Presiden, Bibi Ramajani Ilias Khan yang mengetepikan peranan Exco persatuan berkenaan.

Jelas Mohd Adnan lagi, adalah tidak relevan bagi PBJ untuk mendesak KAFA mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kerana yang memiliki kuasa berbuat demikian ialah barisan Exco.

“Salah untuk kami desak adakan EGM kerana yang berhak buat keputusan ini adalah ahli majlis. Kalau tak puas hati, mereka boleh letak jawatan dan buat keputusan beramai-ramai supaya diadakan EGM, bukan desakan ini datang daripada kami.

“Kalau kita pergi terus kepada Kafa minta diadakan EGM, rasanya tidak adil. Buat dulu perjumpaan, kita bersoal jawab dan selepas itu mungkin barulah kita boleh cadangkan sama ada perlu panggil mesyuarat luar biasa atau sebaliknya,” katanya.

Senada yang sama ialah Setiausaha PBJ Gua Musang, Ruhaled Abd Hamid yang mengatakan belum tiba masanya untuk KAFA mengadakan EGM.

“Semua pihak tak perlu panik kerana dalam kemelut ini, Bibi patut diberi peluang jelaskan perkara sebenar. Buat masa sekarang tak perlu EGM, tapi KAFA kena panggil PBJ beri penerangan.

“Kita Sokonglah panggil semua PBJ kerana kita boleh mendapat maklumat terus daripada Presiden KAFA dan dalam pertemuan ini juga kita boeh utarakan pandangan ahli gabungan,” katanya.

Facebook Comments

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here