Mujor Tak Kaloh Besar

0
414

 

“Syukur kami hanya tewas dengan jaringan tipis saja.” Itulah reaksi pengendali Kelantan, Yusri Che Lah yang nyata lega apabila pasukan bimbingannya tidak dibelasah setelah hanya tewas tipis 1-0 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Walaupun gagal mencuri sekurang-kurangnya satu mata, Yusri tetap bangga dengan komitmen yang diberikan pemainnya sehingga memaksa skuad Harimau Selatan bermandi peluh sebelum berjaya melakar kemenangan.

Yusri mengakui agak sukar untuk The Red Warriors (TRW) mencipta kejutan keatas JDT di Larkin apatah lagi beliau hanya menurunkan pemain muda yang kurang berpengalaman.

“Kami hanya mengharap kesilapan pemain JDT untuk cipta kejutan tetapi kami sedar jurang antara pemain saya dengan tuan rumah begitu jauh memandangkan mereka dibarisi pemain yang hebat.

“Walaupun tewas, saya berpuas hati dengan komitmen pemain yang melaksanakan tanggung jawab dengan mengikut arahan taktikal dan aksi babak pertama jelas mereka begitu bermotivasi apabila mengimbangi kekuatan JDT.

“Kami turun tanpa kelibat lima tonggak utama dan ada di antara pemain mengalami kecederaan serta penggantungan malah saya anggap pemain yang diturunkan pada perlawanan itu tetap konsisten,” katanya.

Namun Yusri menegaskan kekalahan keatas JDT bukan bermakna perjuangan TRW musim ini sudah tamat kerana mereka masih memiliki dua perlawanan lagi untuk meneruskan misi melepasi saingan peringkat kumpulan.

“Walaupun pada awalnya kami tidak menaruh harapan tinggi untuk ke pusingan kalah mati namun berbekalkan lima mata, tidak salah untuk terus berjuang dalam baki dua perlawanan dan tampil sebagai salah satu pasukan ke suku akhir.

“Saya juga berharap pemain yang mengalami kecederaan dan tidak dapat diturunkan malam tadi kembali pulih untuk berdepan MIFA, Jumaat ini dan Cristiano Santos juga akan kembali selepas menamatkan tempoh penggantungan,” kata Yusri.

Facebook Comments

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here