Kelantan sah ikat Cristiano ganti tempat Alaeddine

0
624

Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengesahkan mengikat pemain kelahiran Brazil, Cristiano Marcolino Santos selepas berakhir  jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M) musim 2018.

Cristiano, 30, memulakan karier bersama kelab Brazil Confianca (2007) dan kelab terakhir yang diwakili adalah Hassania Agadir FC di Liga Maghribi.

Kehadiran Cristiano, bagi mengisi posisi penyerang menggantikan import dari Tunisia, Alaeddine Bouslimi yang digugurkan sebelum berakhir jendela perpindahan kedua Liga (M), 3 Jun lalu.

KAFA hampir melengkapkan lima kuota import TRW setelah mengekalkan Cassio Fransisco De Jesus (Brazil) dan mendaftarkan import baharu Bakhtiyar Duishobekov (Kyrgyzstan) serta Lazarus Kaimbi (Namibia).

Perkara itu disahkan Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan selepas mengikat kontrak Cristiano selama enam bulan menggantikan Alaeddine yang ditamatkan kontrak selepas gagal memberi impak positif walaupun diberi peluang beraksi dalam tiga perlawanan liga musim ini.

“Alaeddine terpaksa diketepikan khidmatnya lebih awal sebelum berakhir jendela perpindahan kedua kerana faktor prestasinya tidak konsisten dan gagal mengemudi barisan pertahanan dengan baik,” kata Bibi Ramjani.

“KAFA berharap dengan kemasukan Cristiano dapat membantu mengembalikan kekuatan jentera serangan dan cepat serasi bergandingan dengan Lazarus Kaimbi.

“Cristiano juga menjalani latihan fasa pertama hari ini di bawah kendalian pemangku jurulatih, Yusri Che Lah untuk menyesuaikan diri dengan corak latihan pasukan.”

Ditanya sama ada Cristiano dapat beraksi menentang PKNS FC Selasa ini, Bibi Ramjani berharap pemain itu dapat diturunkan untuk menambahkan sengat jentera serangan.

“Kehadiran Cristiano yang mempunyai skil menggelecek dan larian pantas diharap dapat membantu pemain muda membina kembali kekuatan 200 peratus seterusnya melengkapkan misi memburu tiga mata penting menewaskan PKNS FC ,” katanya. – Berita Harian

Facebook Comments

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here