KAFA Sokong Hamidin, Tak Calonkan Annuar

0
374

Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) menyatakan pendirian menyokong Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai calon untuk bertanding jawatan Presiden FAM sekaligus menolak sebarang kemungkinan badan induk bolasepak Kelantan itu mencalonkan bekas Presidennya, Tan Sri Annuar musa bagi merebut jawatan tersebut.

Nama Annuar menjadi sebutan khususnya dalam kalangan penyokong Kelantan untuk dicalonkan untuk merebut kerusi nombor satu di FAM pada Kongresnya, 14 Julai nanti. FAM membuka kembali percalonan bagi kerusi Presiden setelah barisan Exco badan induk bolasepak negara itu menerima peletakan jawatan Tunku Mahkota Johor (TMJ).

Annuar pernah dicalonkan untuk mencabar TMJ pada pemilihan tahun lalu namun beliau mengambil keputusan menarik diri, dua hari sebelum Kongres FAM ke-53 pada 25 Mac 2017.

Bibi Ramjani yang kini mengambil alih tugas Annuar menerajui KAFA mengesahkan pihaknya setakat ini memberi sokongan kepada Hamidin.

“Setakat ini kami tidak mendapat maklumat apa-apa yang beliau (Annuar) nak bertanding, tapi kalau dalam jawatan KAFA pun beliau tak nak, tak kan FAM pula beliau mahu.

“Pada saya, tidak kisah siapa-siapa yang nak menjadi Presiden FAM, tapi biarlah orang yang betul-betul nak jaga FAM dan bola sepak Malaysia. Kena orang yang rajin dan mempunyai ketahanan mental. Bagi KAFA, kami hanya akan mencalonkan Hamidin seperti yang dicadangkan oleh TMJ,” katanya kepada Berita Harian.

Kesemua 20 ahli gabungan FAM kini memiliki peluang untuk mencalonkan sesiapa yang difikirkan layak sehingga tarikh akhir percalonan iaitu 11 Mei depan.

Untuk rekod, Hamidin yang sudah menerajui sekretariat FAM sejak 2013 kini menjadi pilihan utama setelah mendapat sokongan penuh TMJ, dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi dan Datuk Seri Subahan Kamal, ahli Exco serta ahli gabungan FAM.

“Pada saya Hamidin layak kerana komitmen kerja beliau dengan FAM sekarang. Kalau nak diikutkan kerja sebagai SU (Setiausaha Agung) adalah lebih besar, serba-serbi beliau tahu dan kena buat. Jadi beliau ada pengalaman luas,” kata Bibi lagi.

Facebook Comments

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here