Dong Hyun Mahu Terus Menjaringkan Gol

Penyerang import Kelantan dari Korea Selatan, Do Dong Hyun bertekad mahu terus menjaringkan gol buat The Red Warriors selepas cemerlang meledak hatrik dalam perlawanan dengan Perak, Sabtu lalu.

Do Dong Hyun menjadi watak penting dalam aksi keempat Liga Super tersebut apabila berjaya menjaringkan tiga gol yang telah memberikan kemenangan pertama buat Kelantan dalam saingan liga musim ini.

“Saya cukup gembira apabila dapat membantu pasukan meraih kemenangan dengan jaringan hatrik, perlawanan menentang Perak sememangnya bukan mudah kerana lawan turut memberi tekanan dan tentangan.

“Namun hasil kerjasama dengan rakan pasukan, TRW mampu bangkit untuk menang dan usaha selama ini daripada semua pemain sudah berhasil untuk kita peroleh tiga mata pertama musim ini.

“Saya juga amat berterima kasih kepada isteri saya yang sentiasa memberi semangat dan tidak lupa kepada semua penyokong pasukan,” katanya kepada Berita Harian.

Hatrik pemain berusia 24 tahun itu pada Sabtu lalu, menjadikan dia kini sudah mengumpul empat gol peribadi bersama Kelantan sepanjang perlawanan saingan liga musim ini.

Ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut, dia mahu terus mencetak lebih banyak gol bagi mencapai rekod terbaik ketika mewakili Kelantan.

“Saya mahu mengukir nama di Kelantan, jadi untuk selepas ini saya sudah terfikir untuk beri yang lebih baik bersama pasukan dalam setiap perlawanan.

“Ini penting untuk rekod peribadi saya sebagai seorang pemain untuk melakukan yang terbaik bersama pasukan yang diwakili,” katanya.

Facebook Comments

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*